Isnin

Kewujudan Orang Minyak ?



KULIM: Kewujudan lembaga hitam yang didakwa sebagai ‘orang minyak’ kini menggemparkan penduduk terutama wanita sekitar Taman Kenari, Tiong serta Kota Kenari, di sini, hingga menyebabkan mereka tidur dalam ketakutan.

Difahamkan, lembaga hitam terbabit sering masuk ke rumah penduduk di taman berkenaan, dan bentuk fizikalnya seakan-akan orang minyak dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Sumpahan Orang Minyak.


Malah, beberapa wanita di kawasan itu dikatakan turut mengalami kejadian pelik apabila mereka berasa dihimpit sesuatu ketika tidur dan terdapat kesan lebam pada tubuh terutama paha pada keesokkan harinya.

Pengerusi kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kenari, Mohd Sabri Mat Rejab, 48, berkata kewujudan lembaga hitam itu kini menjadi bualan hangat selepas dia dan beberapa penduduk pernah terserempak dengan lembaga berkenaan.

Menurutnya, dia hanya menganggap kisah orang minyak ini cerita kedai kopi saja, tetapi mula mempercayainya selepas terlihat bayang hitam seakan-akan manusia di atas bumbung rumahnya pada minggu lalu.

Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana menyangkanya kucing ketika membuka pintu pagar, bagaimanapun terfikir perkara lain selepas melihat beberapa jiran turut mengejar lembaga terbabit.

“Saya mendapati beberapa penduduk yang sedang melakukan kawalan di kawasan taman kami cuba mengejar lembaga terbabit tetapi ia yang berpakaian seakan-akan penyelam terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

“Pada malam Selasa lalu sekali lagi lembaga hitam itu muncul di atas bumbung rumah seorang penduduk, dan bergegas ke rumah terbabit selepas mendengar jeritan wanita.

“Lebih kurang 20 orang mengepung kawasan itu apabila melihat lembaga hitam berkenaan berlari di atas bumbung sebelum terjun di depan penduduk lalu menghilangkan diri di dalam semak berhampiran,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya belum menerima aduan penduduk mengenai kejadian rogol atau cabul, cuma beberapa wanita mendakwa tubuh mereka mengalami lebam selepas bangun dari tidur.

Katanya, wanita terbabit mendakwa mereka berasa seperti dihimpit sesuatu ketika sedang tidur dan pada keesokan paginya mendapati ada kesan lebam pada di bahagian tertentu.

“Kini, pasukan rondaan terdiri daripada penduduk taman ini menjalankan rondaan setiap malam bermula dari jam 9 malam sehingga awal pagi.

“Lembaga hitam itu sering berkeliaran awal pagi antara jam 2 pagi hingga jam 3 pagi, tetapi baru-baru ini kami mendapati ia mula muncul seawal jam 9 malam,” katanya.
Related Posts with Thumbnails

0 Komen:

Catat Ulasan